MELAKA – Program malam Melaka Berselawat Sempena Merdeka menjadi acara pembuka tirai sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri dalam suasana penuh keinsafan.
Majlis selawat yang disertai lebih 15,000 umat Islam juga bersempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW itu diadakan di Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini malam tadi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil.
Program bermula seawal jam 6 petang itu bermula dengan umat Islam yang hadir menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di tapak program sebelum diteruskan dengan alunan qasidah serta selawat.
Majlis itu menampilkan tokoh pendakwah terkemuka seperti Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf dan Habib Ali Zainal Abidin yang memimpin qasidah dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis disusuli dengan sesi tazkirah yang disampaikan ustaz Muhammad Hatta Abdul Rahim.
Pada majlis sama, kerajaan negeri menyampaikan beberapa anugerah bagi memberi pengiktirafan kepada pengurusan masjid, surau, tanah perkuburan Islam, koperasi masjid, institusi tahfiz swasta dan pemegang Sijil Pengesahan Halal terbaik. – MalaysiaGazette
















