Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika melakukan gimik pelancaran CIMIC di Klebang, Melaka hari ini.

MELAKA – Melaka berkeupayaan menjadi lokasi alternatif kepada Langkawi bagi penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) pada masa akan datang berikutan kedudukan negeri itu yang strategik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Klebang dilihat sebagai antara lokasi strategik yang berpotensi menjadi tapak penganjuran acara antarabangsa berprestij itu.

“Kita tengok Klebang ini tidak jauh daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dan kita lihat kapal-kapal laut pun boleh berlabuh di perairannya.

“Maka, ia sebenarnya satu tempat yang boleh menjadi alternatif kepada Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Mohamed Khaled Nordin

Mohamed Khaled berkata, penilaian awal mendapati Melaka mempunyai kelebihan dari segi akses darat, selain boleh dihubungi melalui laluan udara dan laut.

Keadaan itu, katanya, memudahkan orang ramai untuk menghadiri acara berskala besar berbanding Langkawi yang bergantung kepada akses udara dan laut.

“Langkawi tidak ramai rakyat boleh pergi ke sana kerana aksesnya agak terhad berbanding Melaka ini yang seluruh rakyat boleh ke sini. Jadi, ia sesuatu yang boleh kita perincikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui penganjuran LIMA memerlukan kos dan pelaburan yang tinggi.

“Seperti apa yang diperkatakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf, penganjuran LIMA memerlukan pelaburan yang sangat-sangat besar,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Mohamed Khaled memuji langkah kerajaan negeri Melaka melantik empat pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai ahli majlis dalam empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan berkesan dalam memastikan pandangan dan cadangan berkaitan isu yang dihadapi warga ATM dapat disuarakan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Saya berharap kerajaan negeri lain mengambil inisiatif sama seperti yang dilakukan kerajaan negeri Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here