KUANTAN – Insentif pembelian motosikal tanpa faedah kepada golongan belia di negeri ini dijangka menjadi antara pengumuman yang dinantikan dalam Belanjawan Pahang 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu dijangka memanfaatkan golongan muda yang sedang dan bakal melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
“Insya-Allah. Kerajaan negeri akan mengumumkan pinjaman untuk membeli motosikal kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun tanpa faedah. Ini merupakan satu galakan kepada anak-anak kita yang belajar di IPTA atau IPTS,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Negeri Pahang di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMK); Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai 2,326 pelajar SPM, STAM dan STPM menerima wang tunai berjumlah RM1,000 sebagai insentif kecemerlangan mereka secara indiividu.
Selain itu, beliau turut menyampaikan insentif tiga Anugerah Khas Peringkat Kebangsaan bagi STPM, manakala 13 buah sekolah dan dua buah Kolej Tingkatan Enam turut menerima Anugerah Khas pencapaian STPM.
“Secara keseluruhan, kerajaan negeri hari ini memperuntukkan RM2,426,082 kepada pelajar-pelajar anak Pahang yang cemerlang SPM, STAM dan STPM 2025,” katanya. – MalaysiaGazette
















