KUALA LUMPUR – Bandar Sri Aman, Sarawak kini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap bahaya apabila mencecah bacaan 331 setakat jam 10 pagi tadi.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Sri Aman menjadi kawasan keempat di Sarawak yang merekodkan bacaan IPU melebihi paras 300.
Bacaan tertinggi dicatatkan di IPD Serian dengan 475, diikuti Samarahan (333), manakala Sri Aman dan Kuching masing-masing merekodkan bacaan 331.
Bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Selain itu, Sarikei merekodkan bacaan 275, Sibu (220) dan Mukah (216), yang kesemuanya berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sementara itu, beberapa kawasan lain di Sarawak turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Samalaju (180), Miri (171), ILP Miri (169), Kapit (164) dan Limbang (161).
Perkembangan itu menunjukkan keadaan kualiti udara di Sarawak semakin membimbangkan apabila beberapa kawasan kini merekodkan bacaan pada tahap bahaya dan sangat tidak sihat.
Orang ramai terutama golongan berisiko tinggi dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengehadkan aktiviti luar ketika keadaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa dan orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini melalui sistem pemantauan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS). – MalaysiaGazette
















