KOTA TINGGI – Seorang lelaki dan anaknya serta dua adik-beradik perempuan terselamat daripada lemas ketika mandi pantai di SPP Campsite, Bandar Penawar di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 10.04 pagi.
Susulan itu katanya, seramai lima anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati empat mangsa lemas semasa sedang mandi di pantai yang melibatkan seorang lelaki, Samsudeen Hasan, 44, dan anak lelakinya, Muhamad Syakir, 16.
“Dua lagi adalah pasangan adik-beradik remaja perempuan iaitu Nur Qaira Izzara Abdul Latif, 16, dan Nur Qasseh Insyeerah Abdul Latif, 14. Semua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberitahu, semua mangsa dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan selamat.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat selesai pukul 11.07 pagi. – MalaysiaGazette
















