KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh rakyat mengisi kemerdekaan negara yang disambut hari ini dengan memperkukuh perpaduan.
Dalam masa sama, beliau turut mengajak seluruh rakyat bersama-sama membina Malaysia yang lebih maju dan sejahtera untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kemerdekaan yang diwarisi mesti terus dipelihara, kemajuan yang dikecapi mesti dinikmati dan masa depan negara perlu kita bina bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, generasi terdahulu berjuang untuk memerdekakan tanah air, justeru generasi hari ini pula memikul amanah untuk mengisi kemerdekaan dan membawa Malaysia terus melangkah ke hadapan.
Menurutnya, pada 69 tahun lalu, kemerdekaan telah membuka lembaran baharu buat Malaysia yang mahu menentukan sendiri masa depannya.
Kata beliau, ia dibina dengan pengorbanan, keberanian dan kesatuan hati para pejuang terdahulu.
“Hari ini, amanah itu berada di tangan kita untuk memastikan Malaysia yang mereka perjuangkan terus aman dan makmur,” katanya.
Ujarnya, dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, kekuatan seluruh rakyat sentiasa terletak pada kemampuan untuk hidup bersama, saling menghormati dan meletakkan kepentingan tanah air mengatasi segala perbezaan.
“Kita mungkin berbeza bangsa, agama, budaya mahupun pandangan, tetapi kita terus berkongsi sebuah tanah air dan masa depan yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette
















