SERDANG – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mempercepat proses penyaluran tambahan RM1 bilion dana mikrokredit kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata tambahan itu menjadikan keseluruhan peruntukan dana mikrokredit bagi tahun ini meningkat kepada RM6 bilion daripada RM5 bilion, sekali gus memberikan manfaat terutama kepada usahawan mikro dan kecil yang memerlukan akses pembiayaan.
“Antara agensi yang terlibat untuk tambahan RM1 bilion ini termasuk Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional. Tiga agensi ini di bawah KUSKOP. Jadi kita akan berusaha untuk mempercepat proses supaya wang atau sumber yang telah dijanjikan itu disalurkan,” katanya.
Sim berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Laman Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) KUSKOP sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS) di sini hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah RM1 bilion serta memaklumkan kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Anwar berkata tambahan dana itu dibuat bagi membantu golongan perniagaan kecil yang berhadapan tekanan kos dan memerlukan sokongan untuk mengembangkan perniagaan.
Sim berkata pengumuman itu sudah tentu berita yang amat dialu-alukan sektor PMKS, khususnya perniagaan kecil dan mikro.
“Ini kerana mikrokredit bukan sahaja memberikan sokongan kewangan tetapi agensi mikrokredit juga selalunya lebih mesra kepada peniaga mikro dan kecil dari segi syarat selain memudah cara proses dan sebagainya.
“Pengumuman meningkatkan nilai ambang e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta sudah tentu cukup penting, khususnya untuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Saya lihat data diberikan Kementerian Kewangan, ia membantu lebih satu juta syarikat dalam kategori PMKS,” katanya.
Selain itu, Sim menyifatkan penambahan kuota RON95 dan diesel sebagai “hadiah Merdeka” terbaik kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan dalam sektor PMKS yang kerap menggunakan kenderaan untuk mencari sumber pendapatan. – BERNAMA
















