MARANG – Seorang buruh am ladang maut selepas motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Kuala Terengganu-Kuala Berang, Wakaf Dua di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Marang Supt Saari Mohamed berkata, mangsa Muhamad Ikhwan Adenan, 29, yang berasal dari Kampung Baru Sungai Binjai, Ajil, di Hulu Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 8 malam yang memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y15 dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Berang melanggar bahagian tepi kanan Honda CRV yang sedang membuat pusingan U di lokasi kejadian.
“Pemandu Honda CRV yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Padang Leban, Bukit Payong di sini tidak mengalami kemalangan, namun penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
















