KUALA LUMPUR – Tokoh korporat kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menuntut RM10.75 juta daripada dua individu berhubung dakwaan penggunaan nama, kedudukan dan reputasinya tanpa kebenaran bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap skim pelaburan Energy Eco Berhad (EEB).
Tuntutan itu dibuat menerusi dua Notis Tuntutan bertarikh 18 Ogos 2026 yang dikeluarkan firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq Advocates & Solicitors; Syarie Counsel kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif EEB, Datuk Norliza Tajudin dan pengasas serta rakan kongsi AUF MBZ Consortium PLT (AUF), Datuk Sri Mahadi Badrul Zaman.
Menurut firma itu, jumlah RM10.75 juta terdiri daripada RM750,000 yang didakwa dibayar Daud Bakar menggunakan wang peribadinya berkaitan seorang pelabur, selain RM10 juta sebagai pampasan atas dakwaan kerosakan terhadap reputasi profesionalnya.
“Anak guam kami mendakwa nama, kedudukan dan reputasi profesionalnya telah dieksploitasi tanpa pengetahuan atau persetujuannya bagi mendapatkan dan mendorong keyakinan pelabur untuk menyertai skim berkenaan,” menurut notis berkenaan.
Daud yang ketika itu merupakan Pengerusi dan pengarah bukan eksekutif EEB selepas dilantik pada 19 Julai 2021, namun mendakwa beliau tidak pernah terlibat dalam pentadbiran, kewangan, operasi harian, rundingan pelabur atau pengendalian dana syarikat.
Bagi Mahadi, firma itu mendakwa AUF yang dikaitkan dengannya dilantik sebagai pihak pemasaran atau pengedaran skim EEB, termasuk mempromosikan penglibatan Daud Bakar bagi meningkatkan kredibiliti pelaburan.
Menurut notis itu, Daud hanya mengetahui namanya digunakan sebagai jaminan kepada pelabur selepas berlaku kegagalan pembayaran, apabila beberapa pelabur menghubunginya secara langsung.
Firma itu berkata anak guamnya kemudian menandatangani Surat Aku Janji Pembayaran pada 27 Januari 2025 membabitkan RM4.6425 juta dan telah membayar RM750,000 daripada wang peribadinya bagi menjaga nama, reputasi dan kedudukan profesionalnya.
Beliau turut meletakkan jawatan sebagai pengarah EEB pada 15 Oktober 2024 selepas berdepan beberapa isu pengurusan, termasuk kesukaran menghubungi pihak pengurusan dan mendapatkan jawapan mengenai syarikat.
Firma itu turut memaklumkan Daud sebelum ini disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, IPK Kuala Lumpur dan menerima keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) pada 29 Mei 2025.
Bagaimanapun, notis itu turut menyatakan beliau kini didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung urusan EEB dan telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Norliza dan Mahadi diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan maklum balas memuaskan terhadap tuntutan itu, dengan tindakan undang-undang akan dimulakan sekiranya gagal berbuat demikian. -MalaysiaGazette
















