KUALA LUMPUR – Cadangan mewujudkan Hospital MARA bukan didorong sentimen perkauman, sebaliknya usaha melengkapkan ekosistem pendidikan, latihan dan keusahawanan dalam sektor kesihatan yang sudah dibangunkan agensi itu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hospital berkenaan jika direalisasikan kelak akan dibuka kepada semua pesakit tanpa mengira kaum.
“Sudah tiba masanya untuk MARA melengkapkan ekosistem pendidikan dan aspek keusahawanannya dalam sektor kesihatan.
“MARA ini sudah melahirkan puluhan ribu doktor, jururawat, pakar-pakar dalam pelbagai bidang,” katanya ketika disoal wartawan dalam sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Menara Dato Onn, di sini.
Asyraf Wajdi berkata, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di Ipoh antara institusi MARA yang menawarkan program kedoktoran, namun belum mempunyai hospital sendiri untuk menjadi tempat latihan doktor.
“Sudah menjadi suatu yang biasa mana-mana universiti yang menawarkan program kedoktoran ini untuk ada hospital tempat latihan doktor-doktor ini. Jadi, ia suatu yang bukan luar biasa,” ujar beliau.
Menurutnya, MARA mempunyai ekosistem yang lengkap dalam sektor kesihatan, termasuk pendidikan perubatan, kejururawatan, bioperubatan, ubat-ubatan serta latihan berkaitan instrumen kesihatan.
Katanya, UniKL turut menawarkan program berkaitan bioperubatan, ubat-ubatan dan instrumen kesihatan, manakala TVETMARA Ledang melatih tenaga dalam pengoperasian serta penyelenggaraan peralatan perubatan seperti mesin dialisis dan mesin X-ray.
“Bahkan ia diiktiraf di peringkat antarabangsa. General Electric dari Amerika Syarikat menghantar tenaga mereka ke KKTM Ledang kerana mereka mengiktiraf kepakaran-kepakaran yang ada di sana,” jelasnya.
Dalam bidang kejururawatan pula, MARA mempunyai KPTM Kota Bharu yang menawarkan program Diploma Kejururawatan, selain program berkaitan di UniKL RCMP.
Asyraf Wajdi berkata, ekosistem berkenaan turut disokong rangkaian U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental yang dikendalikan usahawan MARA di bawah jenama MARA.
Jumlah cawangan berkenaan kini sekitar 160 dan dijangka meningkat kepada 200 menjelang hujung tahun ini.
“Maknanya, kita ada semua: doktor, jururawat, instrumen-instrumen kesihatan, ubat-ubatan, biomedik dan segala aspek yang berkaitan sektor kesihatan.
“Ditambah pula, kita ada U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi, U.n.i Dental sebagai feeder kepada hospital,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya MARA menilai cadangan untuk mewujudkan sebuah hospital bagi melengkapkan keseluruhan ekosistem kesihatan berkenaan.
Katanya, satu pasukan khas diketuai Timbalan Ketua Pengarah MARA, Dr Mahzan sudah dibentuk bagi menilai dan mengkaji cadangan tersebut.
“Ini baru untuk menilai, mengkaji. Belum lagi kita bercakap soal baru nak menilai, orang sudah menimbulkan pelbagai persepsi,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan cadangan Hospital MARA tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman dan hospital berkenaan akan memberikan perkhidmatan kepada semua.
“Ini tidak ada kaitan dengan perkauman. Hospital ini untuk semua. Kita tak akan pilih pesakit. Tak boleh pun, dari segi profesionalisme doktor, untuk pilih pesakit Bumiputera atau bukan Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu juga selaras dengan usaha MARA memperluaskan ekosistem pendidikan dan keusahawanan yang sudah dibangunkan dalam sektor kesihatan, bukan semata-mata untuk membina sebuah hospital. – MalaysiaGazette
















