JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meninggalkan satu legasi yang berjaya apabila tidak lagi menjadi Perdana Menteri selepas ini iaitu perjuangannya menghapuskan kemiskinan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa, usaha tersebut kini hampir tercapai dan kini dapat dilihat apabila satu demi negeri-negeri sudah mencapai tahap sifar kemiskinan tegar.
“Kenapa isu kemiskinan tegar itu begitu dekat dihatinya? Saya menjadi saksi hidup. Dua tahun Anwar Ibrahim terpenjara di bawah ISA di Kem Kamunting, Taiping, Perak kerana membela dan memperjuangkan nasib rakyat miskin di Baling, Kedah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Anwar sebelum ini berikrar untuk menghapuskan kemiskinan dan jasanya itu akan dikenang selepas beliau tidak lagi menjadi perdana menteri.
“Perdana Menteri atau presiden sesebuah negara lazimnya dikutuk, dikritik dan dibenci. Jarang yang dipuji dan disanjung semasa hidupnya.
“Jika pemimpin itu telah jatuh atau jadi orang biasa-biasa atau merengkok dalam penjara atau telah mati, barulah jasanya dikenang dan visinya mulai jelas kelihatan,” katanya.
Hassan berkata, sebagai contoh di peringkat global, macam-macam keburukan dan kejelikan dituduh dan dilemparkan terhadap Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy.
Namun katanya, terdapat banyak juga rakyat Amerika Syarikat dan dunia teringat perkara baik yang dibuat Kennedy.
“Pada tahun 1962, John F Kennedy berikrar untuk mendaratkan manusia di bulan.Pada tahun 1963, Kennedy mati ditembak di Dallas, Texas. Namun ikrarnya berjaya dicapai pada tahun 1969 apabila Neil Armstrong dan Buzz Aldrin berjalan di atas permukaan bulan.
“Jadi menjelang 16 September 2026 ini, ketika rakyat Malaysia seluruhnya akan merayakan Hari Malaysia. Bolehkah kita ingat apakah satu ikrar Anwar Ibrahim yang hampir akan tercapai? Ikrar itu adalah menghapuskan kemiskinan tegar,” katanya.
Tambahnya, Anwar dengan izin Allah mungkin boleh jadi perdana menteri sepenggal lagi walau selantang mana musuh politiknya cuba menjatuhkannya.
“Dengan izin Allah juga mungkin Anwar tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette
















