KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim mempersoalkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendakwa beliau tidak memahami asas kewangan kerajaan.
Kamil menjelaskan kenyataannya sebelum ini dibuat berdasarkan penjelasan rasmi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan bukannya dibuat secara sembarangan.
“Kalau kenyataan saya berdasarkan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dianggap sebagai ‘tak faham asas kewangan kerajaan’, persoalan saya, adakah Akmal juga mengatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan tidak faham asas kewangan kerajaan?,” soalnya dalam kenyataan.
Menurut Kamil, Johan sendiri menjelaskan tiada sekatan terhadap peruntukan projek jalan luar bandar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), malah peruntukan telah disalurkan sepenuhnya.
Jelas beliau, kekangan pembayaran kepada kontraktor pula berlaku apabila peruntukan tahun semasa hampir habis dibelanjakan, berdasarkan penjelasan berkenaan.
Angka Kementerian Kewangan turut menunjukkan perbelanjaan projek itu melebihi peruntukan bagi tiga tahun berturut-turut iaitu RM1.1 bilion diperuntukkan berbanding RM1.8 bilion dibelanjakan pada 2023.
Pada 2024 pula, RM1.3 bilion diperuntukkan dan RM2 bilion dibelanjakan, manakala pada 2025, RM1.6 bilion diperuntukkan berbanding RM2.3 bilion dibelanjakan.
Kamil menyifatkan Johan sebagai penjawat awam kanan yang cekap dan teliti serta lebih arif mengenai urusan pentadbiran kewangan negara.
“Sudah tentu beliau lebih arif dalam urusan pentadbiran kewangan negara berbanding ‘Tuan Kassim Patalon’,” katanya.
Dalam pada itu, Kamil menegaskan beliau tidak mempertikaikan perbelanjaan untuk membina jalan bagi rakyat luar bandar kerana mereka berhak mendapat pembangunan.
“Namun pembangunan yang diperlukan rakyat dan disiplin mengurus wang rakyat bukan dua perkara yang bercanggah,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan kaedah pentadbiran dan pengurusan kewangan pihak yang dikritiknya dengan merujuk kepada isu yang pernah membabitkan Tabung Haji, Felda dan 1MDB. -MalaysiaGazette
















