KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam individu serta merampas 2,331 pil dadah dan sejumlah barangan bernilai keseluruhan RM39,770 dalam lima penguatkuasaan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan pada Selasa lepas dan semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kesemua tangkapan terdiri daripada empat rakyat tempatan dan dua warga Thailand manakala rampasan melibatkan 2,210 pil yaba, 120 pil epam, sebiji pil kuda, 0.28 gram syabu, enam botol ubat batuk serta sebuah kenderaan.
Beliau berkata dalam kes di Pengkalan Kubor, Tumpat pada Selasa, pasukan Strike Force Kompeni B, Batalion 8 PGA menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 35 tahun di kawasan tebing sungai di bawah jambatan Kampung Pulau Ular, selepas suspek cuba melarikan diri ketika serbuan pada 5.10 pagi.
“Pemeriksaan menemukan 2,192 pil yaba seberat kira-kira 238.22 gram manakala hasil soal siasat, lelaki itu mengaku terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah kira-kira setahun dan beberapa kali menghantar bekalan ke tebing sungai di Malaysia menggunakan perahu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan pada hari sama, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan menerusi sekatan jalan raya di Neting, Pengkalan Kubor, selepas pemeriksaan menjumpai empat pil yaba dan syabu seberat kira-kira 0.28 gram manakala semakan sistem MCAD mendapati suspek dikehendaki polis berkaitan satu kes di Dungun.
Di Jeram Perdah dan Rantau Panjang, Pasir Mas pada hari sama dan semalam, PGA menahan tiga lagi warga tempatan dan seorang warga Thailand dalam beberapa tindakan berasingan serta merampas 14 pil yaba, enam botol ubat batuk, 120 pil epam dan sebiji pil kuda, selain sebuah kenderaan.
“Dua daripada mereka didapati positif terhadap methamphetamine manakala kesemua individu ditahan serta barang kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya.
— BERNAMA
















