KOTA TINGGI – Jasad mangsa keempat dan terakhir remaja lemas di Pantai Tanjung Lompat di sini Rabu lalu ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat hari ini.
Jasad Muhammad Haiman Fitri Supian,16, ditemui orang awam pukul 3.05 petang tadi kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian.
Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Maritim Mohamed Shafiee Bakar berkata, mayat dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pukul 4.30 petang untuk pengecaman daripada waris.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
“Secara keseluruhan, SAR mangsa lemas ini melibatkan keluasan 80 kilometer sehingga ke Tanjung Sedili,” katanya ketika ditemui di pos kawalan di lokasi kejadian.
Portal ini sebelum ini melaporkan, enam remaja berusia 16 tahun lemas selepas mandi dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.
SAR yang diaktifkan sejurus kemudian menemui Alif Taqiuddin Kamal Hasrul jam 1.25 petang pada Rabu, Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor pukul 1.53 petang kelmarin manakala Muhammad Adib Hafiy Kamal dijumpai pukul 11.53 pagi semalam
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad mengesahkan penemuan mayat terakhir itu.
SAR tersebut ditamatkan pukul 5 petang.- MalaysiaGazette
















