Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan kerajaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengkaji pelaksanaan Skim Group Insurance Nasional sebagai langkah reformasi perlindungan sosial negara.

Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, menerusi skim itu, pertamanya perlindungan boleh merangkumi bukan sahaja kemalangan, malah rawatan penyakit kronik dan kemasukan ke hospital.

“Kedua, jumlah peserta yang besar di peringkat nasional boleh memberikan kekuatan rundingan atau leverage yang lebih tinggi untuk mendapatkan kos perlindungan dan rawatan yang lebih berpatutan.

“Ketiga, caruman boleh dikongsi bersama-sama antara pekerja dan majikan, sebagai contoh melalui kadar yang munasabah seperti 0.25 peratus daripada pekerja dan 0.75 peratus daripada majikan, tertakluk kepada kajian aktuari dan kemampuan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keempat pula kerajaan boleh memberikan insentif tertentu termasuk pelepasan atau galakan cukai bagi memastikan skim ini dapat dilaksanakan secara mampan.

Sementara kelima ujar beliau, pesakit boleh mendapatkan rawatan melalui rangkaian hospital awam dan swasta, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

Melalui sistem seperti itu katanya, hospital swasta juga akan beroperasi dalam satu rangka pembiayaan yang lebih tersusun dan telus, sekali gus membantu mengawal kenaikan caj rawatan yang membebankan rakyat.

Zainuddin mendakwa, keputusan Perkeso menukar Skim Lindung 24 Jam daripada mandatori kepada sukarela disifatkan sebagai hanya langkah sementara dan belum mencukupi untuk memberikan perlindungan sosial yang menyeluruh kepada rakyat.

Jelasnya, ini kerana rakyat bukan sekadar memerlukan perlindungan selepas berlakunya kemalangan, sebaliknya memerlukan sistem perlindungan kesihatan yang lebih komprehensif, mampan dan mampu memberikan akses kepada rawatan penyakit kronik serta kos kemasukan ke hospital.

“Perkeso seharusnya mengambil pendekatan yang lebih progresif dengan mempertimbangkan pengenalan satu Skim Group Insurance Nasional yang bukan sahaja melindungi pekerja daripada kemalangan diri malah menyediakan perlindungan perubatan melalui medical card secara berkumpulan.

“Jika benar kita mahu melindungi rakyat, maka Perkeso perlu melihat kepada satu sistem perlindungan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, dengan kekuatan jumlah peserta di seluruh negara, skim Group Insurance Nasional berpotensi menawarkan perlindungan pada kos yang lebih rendah serta meliputi kemalangan dan penyakit.

Caruman pula katanya, boleh dikongsi secara adil antara pekerja dan majikan, dengan sokongan serta insentif daripada kerajaan.

“Inilah pendekatan perlindungan sosial yang lebih progresif dan berpandangan jauh,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here