SERDANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diarah menjalankan siasatan serta mengkaji semula proses pembekalan yang menyebabkan kelewatan bantuan kepada pesawah di Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan itu bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan berulang yang menjejaskan golongan petani dan pesawah termasuk meneliti status syarikat yang diberi tanggungjawab menguruskan proses pembekalan itu.
Beliau menegaskan, isu tersebut perlu dipandang serius kerana memberi kesan besar yang ditanggung oleh rakyat terutama yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.
“Kalau syarikat seperti ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan. Ambil syarikat baharu. Jangan jadikan petani dan pesawah mangsa.
“Kalau perlu dihadapkan ke mahkamah, hadapkan ke mahkamah. Kalau perlu didakwa, SPRM masuk, saya sudah minta SPRM kaji balik proses ini ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan amat prihatin dengam kelewatan pengedaran baja kepada pesawah sambil mengakui menerima rungutan dan kemarahan daripada golongan pesawah yang terkesan dengan masalah tersebut.
“Saya terima kemarahan itu. Jadi kita perlu cari puncanya. Syarikat mana yang diberi amanah dan mengapa perkara ini boleh berlaku,” tegas Perdana Menteri.
Sebelum ini, media melaporkan kelewatan pembekalan baja kepada pesawah berisiko menjejaskan pengeluaran padi tempatan serta menurunkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.
Dianggarkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa.
Keadaan itu turut dibimbangi akan meningkatkan lagi kebergantungan Malaysia terhadap import beras bagi memenuhi permintaan domestik. – MalaysiaGazette
















