KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 12 laporan polis berhubung dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini sebanyak 12 laporan polis telah diterima mengenai isu ini dan seramai 12 orang saksi telah dirakam percakapan.
“Rakaman percakapan Tan Sri Abdul Hadi Awang akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan berkaitan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Jika disabitkan, kesalahan itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, M. Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Masyarakat turut digesa untuk menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















