KUALA LUMPUR – Ketua Penolong Pengarah (Bicarawara), Seksyen Ehwal Semasa RTM dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM28,000.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman terhadap tertuduh, Suhaila Md. Zaini, 47, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman namun menaikkan wang jaminan kepada RM10,000 sementara menunggu proses rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Mohd. Nasir dalam penghakimannya memaklumkan hujah pembelaan bahawa tertuduh meminjam wang RM10,000 daripada seorang individu merupakan satu pembelaan fikiran terkemudian (afterthought) kerana pembayaran balik ‘hutang’ tersebut hanya dilakukan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan pada Oktober 2019.
Katanya, cara pembayaran wang dengan menggunakan akaun pihak ketiga menunjukkan bahawa tertuduh cuba menyembunyikan kesalahan tersebut.
Tambahnya, mahkamah juga menolak pembelaan tertuduh bahawa wang RM18,000 yang diterima telah digunakan bagi perbelanjaan dan pembayaran program-program RTM.
Jelasnya, tiada keterangan bahawa wang tunai RM18,000 tersebut telah dibayar melalui saluran rasmi RTM.
“Malah, resit-resit dikemukakan oleh tertuduh sebaliknya menyokong kes pihak pendakwaan kerana menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai wang tunai yang banyak untuk membuat bayaran kepada pembekal-pembekal yang terlibat dalam program yang dijalankan oleh RTM.
“Ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa tertuduh sememangnya mempunyai wang tunai berjumlah RM18,000 seperti dalam pertuduhan dan kemudiannya menggunakan wang tersebut.
“Sebaliknya, wang tersebut diterima secara peribadi melalui individu yang mengendalikan program RTM menggunakan akaun syarikat produksi RTM,” katanya.
Mohd Nasir berkata, mahkamah juga berhak menerima sebahagian keterangan saksi pada peringkat pendakwaan yang jelas menyatakan saksi berkenaan mengeluarkan wang tunai RM18,000 daripada akaun Syarikat FRZ Production sebelum menyerahkannya kepada tertuduh.
Beliau berkata, keterangan tiga saksi pendakwaan dan pegawai penyiasat adalah konsisten serta saling menyokong antara satu sama lain selain selari dengan rekod transaksi yang dikemukakan.
Mengikut pertuduhan sebelum ini, Suhaila menerima bayaran RM10,000 daripada Syarikat FRZ Production melalui akaun bank milik Jootatrillion Enterprise serta wang tunai RM18,000 daripada seorang individu pada 9 Julai dan 17 April 2019.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri, manakala Suhaila diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.-MalaysiaGazette
















