KUALA LUMPUR – Indeks Mobiliti Pendidikan Melayu perlu diwujudkan bagi mengukur keberkesanan pendidikan dalam meningkatkan keupayaan, kemahiran dan mobiliti sosial anak bangsa, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ukuran kejayaan pendidikan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada akses, enrolmen, sijil dan tuisyen, sebaliknya perlu melihat sejauh mana pendidikan membina keupayaan manusia dan meningkatkan kedudukan sosial seseorang.
“Ukuran pendidikan tidak boleh berhenti pada hanya akses, enrolmen, sijil dan tuisyen. Ukuran yang lebih besar ialah sejauh mana pendidikan dapat membina keupayaan manusia, mobiliti sosial dan kekuatan sebuah bangsa.
“Atas sebab itulah saya mencadangkan suatu Indeks Mobiliti Pendidikan Melayu yang menjejaki perjalanan pendidikan seorang anak daripada latar sosioekonomi, pencapaian pembelajaran dan laluan pengajian hinggalah kepada pekerjaan, kesepadanan kemahiran dan perkembangan pengetahuan,” katanya.
Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bertemakan Agenda Pendidikan Melayu: Daripada Akses Kepada Pengusaha di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Ahmad Zahid berkata, agenda pendidikan Melayu kini perlu beralih daripada sekadar memperluas akses kepada memastikan anak bangsa benar-benar menguasai ilmu yang bernilai dan mempunyai peluang meningkatkan taraf kehidupan.
“Ukuran kita mesti bergerak daripada schooling kepada learning dan daripada learning kepada mobility. Kita bukan hanya mahu berada dalam institusi itu, tetapi apa yang dikuasainya, ke mana ilmu itu membawanya dan sejauh mana pendidikan mempertingkatkan mobiliti sosial,” katanya.
Beliau berkata, cadangan indeks berkenaan perlu dibangunkan oleh Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan Ilmu bersama institusi akademik sebelum dibentangkan pada konvensyen akan datang.
“Saya mahu Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan Ilmu bersama-sama dengan institusi akademik membangunkan kerangka awal indeks ini untuk kita teliti dan bawa ke peringkat seterusnya.
“Dan saya mahu dalam konvensyen yang akan datang, indeks ini mesti dibentangkan kepada kita semua,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan itu penting kerana kejayaan pendidikan tidak boleh lagi dinilai hanya berdasarkan jumlah individu yang berjaya memasuki sistem pendidikan, tetapi perlu mengambil kira apa yang diperoleh selepas mereka melalui sistem berkenaan.
“Pelaburan itu hanya benar-benar menjadi modal apabila ia menghasilkan keupayaan dan mobiliti akhirnya,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid lagi, Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan Umno bersama institusi akademik perlu membangunkan kerangka awal indeks berkenaan untuk diteliti dan dibawa ke peringkat dasar.
Beliau berkata tugas berkenaan akan dilaksanakan Pengerusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bersama timbalannya, Tan Sri Idris Jusoh. – MalaysiaGazette
















