KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad menempelak Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari kerana mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis berhubung dakwaan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum 2018.
Saifuddin berkata, dakwaan membabitkan kuasa asing yang cuba mempengaruhi kepimpinan Malaysia bukan isu kecil yang boleh dianggap sekadar pertikaian antara Presiden Pas dengan Kedutaan AS.
“Ia menyentuh soal kedaulatan, keselamatan negara dan maruah Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PH mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bersuara serta menuntut penjelasan apabila timbul dakwaan serius mengenai campur tangan asing dalam politik negara.
“Persoalan sebenar bukan mengapa PH bersuara tetapi siapa yang membuat dakwaan tersebut, apakah buktinya dan adakah dakwaan itu benar berlaku?” tegasnya.
Saifuddin turut menyelar cadangan Fadhli supaya isu berkenaan diselesaikan melalui saman sivil kerana tindakan itu tidak menjawab persoalan lebih besar mengenai kemungkinan campur tangan asing terhadap proses politik dan kepimpinan Malaysia.
Katanya, jika dakwaan itu benar, rakyat berhak mengetahui apa yang berlaku, siapa yang terlibat dan sejauh mana kepentingan negara terdedah, manakala jika tidak benar, rakyat juga berhak mengetahui bagaimana tuduhan sebesar itu boleh dibuat tanpa pembuktian jelas.
Beliau turut mempersoalkan kecenderungan pihak tertentu melabel mereka yang mahu dakwaan itu disiasat sebagai ‘melatah’ sedangkan laporan polis sepatutnya memberi ruang kepada pihak berkuasa menentukan fakta.
Saifuddin kemudian membidas Fadhli yang membayangkan PH mungkin ‘ada kaitan’ hanya kerana bersuara mengenai isu berkenaan.
“Jika Pas mempunyai bukti bahawa mana mana pemimpin PH atau mana mana parti politik Malaysia pernah bersekongkol dengan kuasa asing, bentangkan secara terbuka dan serahkan kepada pihak berkuasa.
“Jangan membuat tuduhan secara berselindung di sebalik sindiran, kemudian mempersoalkan pihak yang mahu kebenaran itu disiasat,” ujarnya.
Mengaitkan isu itu dengan Rukun Negara, Saifuddin berkata, prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang undang tidak seharusnya dijadikan retorik politik semata mata.
“Sebab itu saya ingin bertanya kepada Fadhli: Rukun Negara ini sudah benar benar dihadam atau sekadar dihafal? Malaysia ditentukan oleh rakyat Malaysia, bukan Washington, Beijing, London atau mana mana ibu kota asing,” tegas beliau. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















