Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 SEPTEMBER 2026. Ipoh Sentral TOD transit-oriented development Perak Sejahtera 2030 masjid taman awam Sidang DUN Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 SEPTEMBER 2026.

IPOH – Pelaksanaan projek pembangunan Ipoh Sentral yang menelan belanja RM6.25 bilion dimulakan dengan pembinaan taman landskap pada awal tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bakal diikuti pembinaan masjid pada penghujung tahun ini dengan dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Perancangan pembinaan Terminal Bersepadu dan Pusat Membeli-Belah dijadualkan bermula pada tahun 2027 dengan tempoh pelaksanaan selama lima hingga enam tahun.

“Sementara itu, fasa pembangunan kediaman pula disasarkan bermula pada tahun 2028,” katanya ketika menjawab soalan lisan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Selasa.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, secara keseluruhannya, pembangunan fasa-fasa seterusnya bagi projek berkenaan akan dilanjutkan secara fleksibel dalam tempoh horizon 20 tahun mengikut keadaan pasaran.

Menurutnya, limpahan kemajuan pembangunan Ipoh Sentral bakal dinikmati secara menyeluruh merentasi dimensi ekonomi, mobiliti, kualiti hidup dan sektor pelancongan di daerah Kinta.

“Dari dimensi ekonomi dan pekerjaan, projek ini diunjurkan mampu menjana antara 8,000 hingga 9,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan.

“Setelah siap sepenuhnya dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, perkhidmatan, logistik dan perdagangan, ia akan membabitkan lebih 10,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Tambah Saarani, perkembangan itu secara tidak langsung merangsang aktiviti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan merangkumi perniagaan runcit, kulinari dan pengangkutan, di samping berupaya meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar.

Menjawab soalan tambahan Thulsi Thivani, Saarani menjelaskan, pembinaan projek Ipoh Sentral hanya dijalankan di atas tanah yang diluluskan kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan tidak membabitkan mana-mana pengambilan tanah milik individu.

“Pelaksanaan semasa projek adalah melibatkan tanah yang telah diluluskan kepada RAC bagi tujuan pemajuan tersebut.

“Setakat ini Pejabat Tanah dan Galian (PTG) belum menerima apa-apa maksud pengambilan tanah yang melibatkan pembangunan Ipoh Sentral,” katanya lagi. – MG Perak

Liputan Berkaitan:

Perak sedia jadi pemudah cara Projek Ipoh Sentral

Perak fokus tambah baik pengangkutan awam, komponen penting masyarakat

Ipoh Sentral buka ribuan peluang pekerjaan – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here