KUALA LUMPUR – Survival pendidikan Melayu dan Bumiputera pada masa depan tidak lagi boleh dilihat semata-mata dari sudut kuota sebaliknya perlu beralih kepada penguasaan ilmu, kemahiran dan keupayaan bersaing, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, ukuran kejayaan pendidikan anak Melayu dan Bumiputera bukan hanya berdasarkan jumlah kemasukan ke institusi pengajian tinggi tetapi sejauh mana mereka mampu menguasai bidang kritikal termasuk STEM, teknologi dan ekonomi masa hadapan.
Menurut beliau, pendidikan perlu melahirkan generasi yang mampu berfikir, mencipta teknologi, memiliki harta intelek, membina syarikat serta menerajui industri dan institusi bertaraf dunia.
“Survival yang sebenar ialah survival keupayaan.
“Ukurannya bukan sekadar berapa ramai yang memasuki universiti, tetapi berapa ramai yang mampu berfikir, menguasai STEM, mencipta teknologi, memiliki harta intelek, membina syarikat global dan memimpin institusi bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan hala tuju sempena Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bertemakan ‘Pendidikan Melayu dan Bumiputera: Membina Masa Depan Bangsa, Mencorak Masa Depan Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Zambry berkata, dasar afirmatif masih mempunyai rasional selagi wujud ketidakseimbangan struktur namun matlamat akhirnya mestilah membawa kepada pemberdayaan, kecemerlangan dan kemandirian.
“Pendidikan Melayu dan Bumiputera juga tidak boleh selama-lamanya dibina atas naratif, ‘kami perlu dibantu kerana kami lemah.’
“Naratif masa depan mestilah, ‘kami diberikan peluang untuk menjadi kuat dan setelah kuat, kami mampu berdiri sendiri, memimpin serta membantu orang lain’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendidikan anak Melayu dan Bumiputera perlu bergerak daripada sekadar menyediakan akses kepada usaha meningkatkan kualiti, kompetensi dan daya saing.
Perubahan struktur pekerjaan yang dipacu teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, robotik, tenaga baharu, aeroangkasa, bioteknologi dan keselamatan siber menuntut penguasaan kemahiran baharu.
“Kita tidak mahu anak Bumiputera hanya menjadi operator kepada teknologi yang dimiliki orang lain. Kita mahu mereka menjadi jurutera, penyelidik, pencipta, pemilik paten, pengasas syarikat dan pemimpin industri,” katanya.
Zambry turut menegaskan, pendidikan Melayu dan Bumiputera perlu melihat jauh ke hadapan khususnya menjelang 2057 apabila Malaysia menyambut 100 tahun kemerdekaan.
Beliau berkata, persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada anak Melayu dan Bumiputera ketika itu hanya menjadi pengguna dan penonton atau muncul sebagai pencipta ilmu, peneraju teknologi, pemimpin ekonomi serta pembina tamadun. – MalaysiaGazette
















