KUALA LUMPUR – Undang-undang baharu yang menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak seharusnya mewujudkan bentuk sekatan baharu terhadap mahasiswa dan ahli akademik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbahasan mengenai AUKU kini tidak lagi perlu tertumpu kepada persoalan sama ada akta itu perlu dikekalkan atau dimansuhkan kerana kerajaan sudah membuat keputusan untuk memansuhkannya.

Sebaliknya perhatian perlu diberikan kepada kerangka perundangan dan tadbir urus baharu yang mampu memberikan autonomi lebih besar kepada universiti selain memastikan kebertanggungjawaban dapat diukur.

“Jangan sekat mahasiswa melalui cara lain. Jangan juga sekat ahli akademik melalui cara lain. Sebab itu, pada konvensyen ini, kita meletakkan kepercayaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk menterjemahkan tanggungjawab serta harapan bersama ini kepada tindakan,” katanya ketika menutup Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, autonomi universiti perlu disertai ukuran prestasi yang jelas termasuk aspek kualiti pembelajaran, mobiliti graduan dan impak penyelidikan.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai aktivis mahasiswa, golongan itu perlu diberikan ruang untuk lebih aktif dalam proses membuat keputusan serta menyumbang idea baharu.

“Tidak perlu dan tidak semestinya berada di jalanan atau di sudut pidato setiap minggu, atau mengadakan perarakan dengan memakai baju berlainan warna setiap minggu.

“Bagaimanapun, saya yakin pemimpin mahasiswa dan mahasiswa secara keseluruhannya akan membentuk pemikiran yang lebih maju tanpa AUKU yang menyekat pemikiran dan minda mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyenaraikan autonomi universiti berasaskan prestasi sebagai satu daripada lima misi yang digariskannya bagi agenda pendidikan Melayu menuju 2035 selain mahu resolusi konvensyen diterjemahkan kepada pelaksanaan dengan ukuran kejayaan yang jelas.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, peralihan daripada AUKU kepada kerangka baharu perlu dilaksanakan secara sistematik bagi memperluaskan autonomi universiti, kebebasan akademik serta ruang mahasiswa untuk bersuara dan berorganisasi tanpa menjejaskan tadbir urus serta operasi universiti.

Zambry berkata, undang-undang pengganti itu perlu memberi tumpuan kepada pembangunan intelek dan sahsiah mahasiswa, dengan kebebasan disertai tanggungjawab, tatakelakuan baik serta kebertanggungjawaban.

Pada 20 Ogos lalu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti undang-undang pengganti AUKU selain mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.

Kerangka baharu itu dicadangkan sebagai Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (One Higher Education). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here