KUALA LUMPUR – Pimpinan DAP menghargai sikap jiwa besar mantan menteri dan timbalan menteri dari parti itu yang menerima keputusan pengguguran jawatan dalam rombakan Kabinet hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, menteri yang dimaksudkan itu ialah V. Sivakumar yang telah menerajui Kementerian Sumber Manusia sejak setahun lalu sebelum digantikan dengan Steven Sim.
Selain itu turut disebut oleh Anthony ialah Ramkarpal Singh yang merupakan Timbalan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri yang diganti dengan Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran.
Kata Anthony, Sivakumar langsung tidak mempersoalkan keputusan itu sebaliknya menerima keputusan Perdana Menteri selain menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Beliau (Sivakumar) telah mengeluarkan kenyataan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka. Kita ingin ucapkan terima kasih kepadanya atas semua jasa serta sumbangannya selama setahun ini kepada kementerian itu.
“Begitu juga dengan saudara Ramkarpal yang juga merupakan adik kandung kepada Gobind Singh yang baharu sahaja dilantik sebagai Menteri Digital.
“Beliau sendiri apabila mengetahui tentang perkara dengan jiwa besar telah memberi laluan kepada abangnya supaya parti tidak berdepan dengan sebarang kritikan nepotisme. Syabas dan kita ucapkan terima kasih kepadanya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah hari ini mengakui menerima keputusan digugurkan daripada barisan menteri menyatakan telah melakukan yang terbaik sepanjang setahun menjawat portfolio berkenaan selepas mengangkat sumpah pada 2 Dis 2022 lalu.
“Saya terima keputusan Perdana Menteri dan saya ucapkan terima kasih kepada seluruh warga KSM (Kementerian Sumber Manusia) yang sentiasa bekerjasama dengan saya,” jawabnya ketika dihubungi hari ini. – MalaysiaGazette
















