Dr Ahmad Hafiz (tengah) mencuba mesin realiti maya menggunakan teknologi perisian DRMARTINVR di Fakulti Perubatan UIAM Kuantan hari ini

KUANTAN – Pelajar Perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan kini berpeluang meningkatkan kemahiran amali mengenali dan merawat pesakit melalui kaedah program realiti maya (VR).

Pengarah UIAM Kampus Kuantan, Prof Datuk Dr Ahmad Hafiz Zulkifly berkata, penggunaan teknologi berkenaan yang dilengkapi 33 modul topik perisian yang canggih dan berkualiti dimanfaatkan oleh pelajar tahun satu hingga lima.

Prof Datuk Dr Ahmad Hafiz Zulkifly

Jelasnya, platform inovasi dapat mengoptimumkan kaedah pengajian jurusan supaya lebih menghayati topik perubatan di samping mendedahkan pengalaman ‘bertemu’ pesakit lebih awal sebelum berjumpa secara fizikal.

“Dengan program VR ini, pelajar perubatan akan lebih berasa keseronokan kerana turut diserapkan dengan teknologi yang sukar tetapi dipermudahkan.

”Program pada peringkat awal tahun, fokus utama lebih kepada pelajar perubatan belajar secara maya sebelum memegang pesakit yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Suite Realiti Maya di Fakulti Perubatan UIAM Kuantan di sini hari ini.

Majlis yang sama turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif G Plus Global Sdn Bhd, Dr Nurliza Md Azzam.

Dr Nurliza Md Azzam

Sementara itu, Dr Nurliza berkata, kolaborasi antara G Plus Global UIAM adalah komitmen syarikat dalam memajukan institusi pendidikan melalui penyelesaian inovatif dalam tempoh enam bulan.

Jelasnya, teknologi Dr Martin Virtual Reality (DRMARTINVR) menyediakan simulasi interaktif dan memberi peluang merasai sendiri potensi transformasi realiti maya dalam pendidikan dan latihan perubatan di universiti berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast