Pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat kampus bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69 disempurnakan oleh Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Madya Ts. Dr. Ammar Bathish.

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (MEDIU) menyemarakkan semangat patriotisme dengan menganjurkan Majlis Pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat kampus bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69.

Program itu menghimpunkan warga universiti termasuk barisan pengurusan tertinggi, dekan, pengarah fakulti, staf, pelajar serta orang awam yang melalui kawasan kampus, sebagai lambang perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.

Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Madya Ts. Dr. Ammar Bathish berkata, seluruh warga universiti itu diingatkan agar terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dan cinta akan tanah air sama ada semasa berada di kampus mahupun di luar kampus.

“Sebagai pengasas universiti maya di negara ini, MEDIU memikul tanggungjawab bukan sahaja dalam mencorak minda intelektual tetapi juga memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air.

“Ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas usaha berterusan memelihara kedamaian, kemakmuran dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semangat patriotik membara di  Al-Madinah International University (MEDIU) dengan berlangsungnya Pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat kampus bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan perkongsian daripada pensyarah antarabangsa, Prof. Madya Dr. Abdurrahman al-Junaidi, Prof. Madya Dr. Ibrahim Tohyala dan Prof. Madya Dr. Al-Harath Abdulaziz yang menyentuh tentang nikmat kedamaian dan kemakmuran yang dinikmati di Malaysia.

Kemuncak acara telah diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang secara beramai-ramai dan laungan merdeka sebanyak tiga kali serta perarakan mengelilingi kampus yang diketuai oleh Dr. Ammar sendiri.

Beliau menambah, majlis tersebut menjadi simbolik permulaan kepada rangkaian acara sambutan kemerdekaan peringkat kampus.

Menurutnya, program berkenaan diadakan bagi menyuburkan semangat patriotik dan memperkukuh keharmonian serta perpaduan dalam kalangan warga UM.

Sementara itu, MEDIU ditubuhkan pada 2008 sebagai sebuah universiti antarabangsa di Shah Alam.

Berperanan sebagai universiti berkonsep wakaf, MEDIU ketika itu dikenali universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.

Misi MEDIU adalah pendidikan berlandaskan Islam berteraskan pengajian Islam dan Bahasa Arab untuk menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan mengembalikan kepentingan itu sebagai bahasa ilmu di zaman keagongan Islam di Eropah sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here