Kompleks Mahkamah Alor Setar.

ALOR SETAR –  Tiga lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan pengurangan duti import kereta mewah di Langkawi.

Tertuduh, Ong Seng Aun, 59, Hoo Zui Bok, 47, dan Ooi Liang Sheng, 36, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Seng Aun yang merupakan pemilik syarikat automotif menguruskan pendaftaran kereta import Langkawi didakwa menggunakan dokumen palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi di Bukit Malut pada 2 Oktober 2021.

Perbuatan itu didakwa bagi mengurangkan duti import sebuah kereta Ferrari seorang individu yang tidak bermastautin di pulau berkenaan.

Sementara, Zui Bok yang juga pemilik syarikat menyelenggara dan menjaga kereta mewah import itu juga didakwa melakukan kesalahan sama bertujuan untuk menipu bagi mengurangkan duti import sebuah kereta Ferrari di sebuah pejabat di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Ulu Melaka di Langkawi.

Manakala Liang Sheng yang juga pemilik syarikat berkaitan kereta mewah dan runner pula didakwa atas enam kesalahan memalsukan dokumen untuk menipu antara November 2018 hingga Oktober 2021.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 465 akta yang sama membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai penyiasat SPRM, Muhamad Taufik Awaludin manakala Seng Aun dan Liang Sheng diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran dan Zui Bok diwakili peguam R. Sheshalini.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Seng Aun dan Zui Bok manakala RM10,000 membabitkan enam pertuduhan ke atas Liang Sheng.

Media pada November lalu melaporkan 100 buah kereta mewah termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi ‘diburu’ SPRM.

Kenderaan itu dicari dalam operasi khas SPRM selepas pemiliknya bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast