KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen menolak permohonan ikat jamin 13 individu yang dituduh menculik seorang lelaki warga Palestin untuk dilepaskan di sini hari ini.
Menurut Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali menolak permohonan yang telah difailkan dua minggu lepas selain mengarahkan kesemua mereka direman sehingga perbicaraan kes selesai.
Kesemua tertuduh itu ialah Edy Ko’im Said, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 43, Dody Junaidi, 44, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41, Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23.
Selain itu, Nidarahayu Zainal, 36; dan Raibafie Amdan, 41; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit di Jalan Mayang di sini pada jam 10.40 malam 28 September 2022.
Kesalahan semua individu itu mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tidak ada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes berkenaan berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada 5 Oktober, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September lalu.
Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September. -MalaysiaGazette
















