Mohamed Khaled Nordin dan Saifuddin Nasution Ismail melawat persiapan Defense Service Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) 2024 di MITEC, Kuala Lumpur yang akan berlangsung esok.

KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang akan membuka tirai esok mensasarkan urus niaga dan kontrak berjumlah RM8.1 bilion.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah sasaran itu, Kementerian Pertahanan akan terlibat dalam urus niaga kontrak dan perjanjian berjumlah RM6 billion.

“Untuk sasaran urusniaga DSA pada kali ini, kita memang sudah mengenal pasti beberapa kontrak dan perjanjian yang akan ditandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan walkabout memantau persiapan terakhir pameran tersebut bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.

Pameran dwitahunan itu sudah masuk edisi ke-18 tahun ini.

Dalam pada itu dalam sidang media sama, Saifuddin Nasution berkata, bagi pihak Kementerian Dalam Negeri sebanyak 14 kontrak memorandum persefahaman (MoU) dan urus niaga bernilai RM2.1 billion dijangka dimeterai dalam pameran tersebut.

Pameran DSA-NATSEC 2024 kali ini akan berlangsung selama empat hari bermula 6 hingga 9 Mei ini di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Duta, ibu negara.

Sebelum ini dalam Pameran DSA dan NATSEC edisi ke-17 pada 2022, Kementerian Pertahanan telah menandatangani 54 kontrak dan MoU pertahanan bernilai RM4.6 billion.

Manakala KDN dalam pameran itu telah satu MoU dan lapan kontrak keselamatan bernilai RM2.596 billion.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast