PUTRAJAYA – Kerajaan belum memutuskan calon bagi menggantikan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia, baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia adalah dibawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan membuat keputusan mengenai pengganti Mutang.
“Belum ada, tidak tahu bila akan mesyuarat tapi ini bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibincang dengan YDPA. Jadi tidak tahu samada dia bincang dengan sesiapa sebab dia sibuk di Qatar.
“Tunggu PM balik dan tanya dia,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama yang dibuat di bangunan Perdana Putra, hari ini.
Fadillah berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kekosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Negara susulan kematian penyandangnya, Datuk Mutang Tagal, baru-baru ini, akan diisi oleh wakil dari Sarawak.
Jelas Fadillah, Anwar selaku pemimpin utam kerajaan perpaduan perlu mencadangkan nama pengganti Mutang kehadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk perkenan baginda.
“(Cadangan nama) dibawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan dipersembahkan ke bawah Duli Yang di-Pertuan Agong untuk diputuskan.
“Siapa calonnya belum diputuskan lagi, daripada parti dan negeri mana pun kita belum tahu. Masih terlalu awal untuk kita buat keputusan,” katanya lagi.
Semalam Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, meletakkan harapan agar pengganti mendiang dilantik dalam kalangan wakil Sarawak bagi menghabiskan tempoh penggal yang berbaki tiga tahun lagi.
Mutang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi tadi selepas menerima rawatan di pusat kesihatan itu sejak 6 Mei lalu, setibanya di Malaysia dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.
Mutang, 70, mengangkat sumpah jawatan pada 19 Februari lalu sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.
Beliau adalah Orang Ulu yang pertama dilantik memegang jawatan itu, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas di Sarawak dari 1982 hingga 1990 dan memiliki latar belakang pendidikan serta praktis dalam bidang perundangan. – MalaysiaGazette
















