KUALA LUMPUR – Syarikat bumiputera berkaitan baik pulih pam, ProEight Sdn. Bhd. (ProEight) telah melebarkan sayap ke Indonesia,
Sebelum ini syarikat itu muncul di Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) Asia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Februari Lepas.
Berbekalkan kepakaran dan kemahiran kejuruteraan dalam perkhidmatan pam khusus untuk gas dan minyak, syarikat itu akan berada di Indonesia selama tiga hari bermula 14 Mei lalu pada acara Konvensyen dan Pameran IPA ke-48 di Jakarta.
Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohamed Effei Ramli berkata, program itu memfokuskan servis pam, Reengineer and Rejunevate (R&R) di mana pam boleh dibaik pulih selain menghasilkan semula komponen dalam pam yang telah haus dan gantikan dengan yang baharu.
“Sepanjang tiga hari, kami akan mempamerkan kebolehan unit mampatan untuk dipertingkatkan iaitu fleksikal, pemisah siklon yang dipertingkatkan (cyclodyne), pendesak yang dipertingkatkan (tripeller) dan perkhidmatan R&R.
“Pameran kami telah dikunjungi golongan profesional industri, wakil kerajaan, ahli akademik dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Kehadiran mereka adalah untuk membincangkan arah aliran, teknologi, cabaran dan peluang terkini dimiliki ProEight yang seratus peratus diurus serta dikendalikan anak bumiputera.
Beliau turut menjangkakan, syarikat itu akan memperoleh rangkaian atau penglibatan dengan pemain industri minyak dan gas dari negara kepulauan terbesar dunia itu.
“Perkhidmatan kita ialah menumpukan kepada rangka kerja penerobosan untuk menghidupkan semula peralatan berputar yang usang.
“Proses unik ini, sejajar dengan piawaian API yang menggabungkan kejuruteraan, ujian, inovasi dan sokongan untuk mengoptimumkan prestasi, ketahanan serta keberkesanan kos sambil meminimumkan masa pembaikan,” katanya. – MalaysiaGazette
















