Suspek memberhentikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di hadapan rumah di Taman Wangsa Ukay, Bukit Antarabangsa, Ampang sebelum melarikan pelbagai barang berharga bernilai RM25,000 pada 21 Ogos 2026.

AMPANG – Sebuah rumah di Taman Wangsa Ukay, Bukit Antarabangsa di sini dipecah masuk sebelum suspek melarikan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM25,000 dalam satu kejadian pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian itu disedari mangsa selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya ketika berada di tempat kerja kira-kira jam 4 petang.

Menurut beliau, semakan rakaman mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi berhenti di hadapan rumah mangsa kira-kira jam 12 tengah hari.

“Seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti kemudian dilihat turun daripada kenderaan berkenaan sebelum dipercayai memecah masuk ke dalam rumah.

“Suspek kemudiannya melarikan pelbagai jenis jam tangan, barang kemas, sebuah komputer riba dan kad kredit milik mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Seorang suspek memecahkan sebuah rumah di Taman Wangsa Ukay, Bukit Antarabangsa, Ampang sebelum melarikan pelbagai barang berharga bernilai RM25,000 pada 21 Ogos 2026.

Khairul Anuar berkata, jumlah kerugian keseluruhan akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM25,000.

Beliau berkata, pihak polis turut mengesan satu hantaran video berkaitan kejadian berkenaan yang tular di aplikasi Threads pada 21 Ogos lalu.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan kediaman masing-masing.

“Orang ramai perlu memastikan pintu dan tingkap dikunci serta memasang sistem keselamatan seperti CCTV bagi membantu mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here