Anwar Ibrahim

ASTANA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan yang mengatakan bahawa 25 peratus baki saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) akan dimiliki syarikat pro Zionis, adalah tidak berasas.

Beliau berkata dakwaan yang dibangkitkan pembangkang itu hanyalah semata-mata untuk melahirkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

“.. tiada yang positif daripada dia (pembangkang), hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki. Segala kenyataan kita yang diakui oleh dunia termasuk pertemuan dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh tidak beri sesuatu yang positif kepadanya, yang dicari adalah fitnah dan hasutan.

“Ringgit dan bursa bertambah mengukuh itu hanya menyakitkan hati mereka (pembangkang),” katanya dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan yang mengatakan bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membeli saham MAHB sehingga 70 peratus manakala lima peratus lagi akan dikuasai kerajaan Abu Dhabi.

Bagaimanapun 25 lagi baki saham didakwa akan dimiliki oleh Global Infrastructure Fund iaitu syarikat milik BlackRock berpangkalan di New York, dan penyokong kuat rejim Israel.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast