CYBERJAYA – Setiap projek swasta perlu mengambil kira kebajikan semua pekerja bagi sektor berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana sebarang kejayaan penswastaan tidak hanya boleh diukur melalui keuntungan kewangan, semata-mata.
“Kedua, perumahan mereka. Ketiga, pendidikan mereka, termasuk pendidikan anak-anak pekerja. Hal-hal ini mesti diberi perhatian,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, di sini, hari ini.
Jelas Anwar, tanggungjawab dalam menyediakan perumahan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan, manakala kebajikan pekerja mesti diutamakan dalam proses penswastaan.
Justeru itu, Anwar berkata, konsep ekonomi yang mampan adalah yang memberi perhatian kepada aspek kognitif manusia dan memastikan kesejahteraan pekerja terjamin.
“Barulah konsep ekonomi yang prihatin dan mampan dapat direalisasikan, kerana kemampanan bukan hanya tentang keuntungan dan kelestarian.
“Ia merangkumi aspek yang mengangkat martabat insan itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sektor swasta perlu menetapkan ketiga-tiga aspek berkenaan bagi memastikan prinsip tatakelola yang lebih tegas dan tidak bertolak ansur daripada sebarang kecurangan yang menjahanamkan perubahan negara.
“Pengajaran yang saya nak sampaikan ini bagaimana harus kita teruskan dalam pelan kerjasama awam-swasta perlu mengambil kira konsep ini.
“Jadi peranan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) ini adalah untuk memastikan kepesatan kelulusan yang tidak terikat kerenah birokrasi berlebihan, tetapi tidak berganjak dengan prinsip utama tentang tatakelola dan mengelak dari sebarang kecurangan yang telah menjahanamkan sebahagian perubahan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















