Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah merangka perancangan untuk mengembangkan pusat pembelajaran baharu di Semporna di bawah Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, antara program yang bakal ditawarkan adalah Program Pengurusan Pelancongan dan Program Akuakultur termasuk sekiranya terdapat keperluan dalam bidang-bidang yang terkait dengan keperluan bidang keterjaminan makanan atau dalam bidang pertanian.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan pihak kementerian dan agensi-agensi yang terbabit termasuk Kementerian Ekonomi.

“Buat masa ini juga telah terdapat beberapa IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) dan cawangan UA (Universiti Awam) di Kelantan dan juga di Sabah. Ingin juga saya tegaskan bahawa trend penawaran kemudahan pendidikan tinggi ketika ini adalah secara hibrid iaitu secara fizikal dan maya.

“Ini bermakna pelajar boleh mengikuti pengajian di mana sahaja tanpa perlu berada di kampus secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry turut memberitahu, politeknik yang sedia ada di Bentong, Pahang akan dinaik taraf ke Politeknik Konvensional.

“Iaitu kalau sebelum ini politeknik di Betong itu hanya bersifat Metro yang kecil saiznya dan kita sedang merangka untuk menaikkan taraf politeknik yang berada di kawasan
Betong itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast