Kumar menerima cenderahati selepas majlis penyerahan tugas Timbalan Ketua Polis Johor daripada Afandi kepada Nor Azizi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 2,467 pegawai dan anggota polis di seluruh negeri kini akan bertugas menghadapi musim tengkujuh di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sebanyak 307 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor juga bersedia untuk diatur gerakkan ke lokasi yang berisiko banjir.

“Ini melibatkan aset PDRM Johor seperti bot, pacuan empat roda, lori lima tan dan sebagainya mengikut keperluan di lokasi masing-masing.

“Beberapa siri mesyuarat mengenai koordinasi menghadapi banjir telah diadakan membabitkan agensi penguat kuasa yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Terlibat sama mesyuarat tersebut adalah agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam melicinkan operasi menghadapi situasi banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Penyerahan tugas tersebut dilakukan daripada Deputi Komisioner Afandi Senin kepada Senior Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, hala tuju penugasan PDRM Johor bagi menghadapi banjir tidak tertumpu ke kawasan hotspot kerap berlakunya banjir namun di mana sahaja berlaku bencana alam itu .

“Di mana sahaja berlakunya banjir, kita akan hantar bantuan segera. Sehubungan itu, cuti anggota pada masa ini masih dibenarkan tetapi secara bersyarat.

“Sekiranya berlaku banjir dalam tempoh cuti, mereka akan dipanggil untuk bertugas dan cuti akan dibekukan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast