PENGERANG – Sebanyak 15 hektar kawasan paya gambut yang terbakar di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai di sini sudah berjaya dipadamkan setakat pukul 8.30 pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, jumlah tersebut melibatkan 29.2 peratus daripada keseluruhan 51.4 hektar kawasan paya gambut yang terbakar.
“Operasi pemadaman kebakaran masih diteruskan secara 24 jam sejak kejadian dilaporkan pada pukul 11.25 pagi semalam.
“Keluasan keseluruhan kawasan yang terbakar membabitkan dua sektor iaitu Sektor A seluas 35.6 hektar dan Sektor B seluas 15.8 hektar.

“Daripada keluasan keseluruhan 51.4 hektar, sebanyak 15 hektar berjaya dipadamkan setakat ini, membabitkan lima hektar di Sektor A dan 10 hektar di Sektor B,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
JBPM Johor memaklumkan, kerja-kerja pemadaman masih diteruskan dan anggota berdepan beberapa cabaran termasuk tiupan angin yang agak kuat, laluan masuk yang sukar serta sumber air yang terhad.
Jelas jabatan berkenaan, keadaan cuaca panas dan kering turut menjadi cabaran kepada operasi pemadaman kebakaran berkenaan.

Tambah kenyataan itu, pasukan pemadam kebakaran menjalankan pemadaman secara serangan terus menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki hos dengan dua pancutan pam jentera, pam angkut serta sebuah tangki air.
Seramai 21 anggota dan petugas terbabit dalam operasi itu yang terdiri daripada 16 anggota JBPM, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta seorang pengendali jentera pengorek.
Aset yang digunakan termasuk dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki air, empat kenderaan Hilux, sebuah excavator, dua unit DAM, dua pam angkut dan tiga unit genset.
“Setakat ini tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, manakala tiada nyalaan baharu dikesan di lokasi kebakaran setakat laporan terkini.

“Operasi pemadaman masih diteruskan sehingga keseluruhan kawasan terjejas berjaya dikawal,” ujar kenyataan itu lagi.
Semalam portal ini melaporkan kebakaran paya gambut di kawasan berkenaan terus merebak daripada kira-kira 29 hektar petang semalam kepada 54.1 hektar setakat pukul 9 malam ini.
Kebakaran berkenaan dipercayai mudah merebak berikutan keadaan cuaca panas dan berangin selain kawasan terbabit merupakan tanah gambut yang mudah menyimpan bara api dan terbakar semula. – Malaysiagazette
















