Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyampaikan anugerah 'lifetime achievement' kepada Pensyarah Jabatan Bioperubatan, Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Professor Ir. Dr. Fatimah Ibrahim pada Majlis Penutup sempena Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 12 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia untuk menjadi hab inovasi dan pembuatan peranti perubatan berteknologi tinggi dalam penjagaan kesihatan di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Deri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kesihatan yang diterajui Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan menerajui peranan tersebut.

“Kami meletakkan diri kami sebagai hab untuk pembuatan perubatan Hi-Tech dan inovasi penjagaan kesihatan.

“Jadi, ada satu cabaran yang hebat untuk kementerian, di bawah Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan pemain utama, dan saya percaya mereka akan menerima cabaran ini,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian pada Majlis Penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 serentak dengan Mesyuarat Tahunan Parti Kerja Penyelarasan Global (GHWP) ke-28 yang berlangsung sejak Selasa lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup sempena Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 12 DISEMBER 2024.

Menurut Perdana Menteri, IMDEC 2024 bukan sahaja mempamerkan keupayaan negara tetapi menjadi aspirasi kepada Malaysia untuk menjadi pemain penting dalam teknologi perubatan di rantau ini.

Penyelesaian dan kerjasama termaju yang dipamerkan dalam IMDEC 2024 mengesahkan bahawa Malaysia bukan sahaja mengikuti trend global tetapi sedang giat mengubah dan memajukan kesihatan dan kesejahteraan untuk generasi akan datang.

Tambah Anwar, Malaysia berbangga untuk menyumbang secara aktif kepada usaha global mengharmonikan peraturan peranti perubatan dengan GHWP berdiri sebagai salah satu platform utama.

Penyertaan daripada lebih 34 negara dalam GHWP katanya, menyerlahkan peranan strategik Malaysia dalam mempromosikan kecemerlangan kawal selia dan memudahkan kerjasama rentas sempadan.

“Di bawah ASEAN, pelbagai Aturan Pengiktirafan Bersama (MRA) telah ditandatangani, dengan yang terbaru ditandatangani pada 2023 memfokuskan pada memudahkan urusan perdagangan dan pelepasan kastam.

“Dengan jawatan Pengerusi ASEAN semakin hampir pada 2025, Malaysia komited sepenuhnya untuk memajukan MRA, dan menerajui usaha untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia yang lebih cekap dan bersepadu di rantau ini.

“Matlamat kami bukan sahaja untuk mengurangkan halangan pasaran bagi pengeluar tetapi juga untuk meningkatkan kebolehcapaian peranti perubatan yang selamat dan berkesan, akhirnya meningkatkan penjagaan pesakit dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan di seluruh rantau ini untuk 680 juta penduduknya,” kata Anwar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyampaikan anugerah penghargaan kepada Timbalan Pesuruhjaya Pentadbiran Produk Perubatan China, Dr Xu Jinghe Majlis Penutup sempena Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 12 DISEMBER 2024.

Pada majlis itu Perdana Menteri menyampaikan anugerah pencapaian seumur hidup kepada dua orang tokoh penyelidikan dan pembangunan teknologi peranti perubatan iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Vista Robotic, Roy Chin dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Fatimah Ibrahim.

Sektor peranti perubatan menyumbang kira-kira RM18 bilion kepada ekonomi negara pada 2023 dan mencipta kira-kira 95,000 peluang pekerjaan di peringkat tempatan.

IMDEC 2024 dan GHWP ke-28 mengumpulkan lebih daripada 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pengunjung dari pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast