MUAR – Simpanan hari tua bekas pesara syarikat swasta berjumlah RM89,000 lesap selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai mahkamah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu semalam daripada mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 60 tahun.

“Mangsa menyatakan semuanya bermulanya selepas menerima satu panggilan telefon dari sebuah syarikat insuran menyatakan dia mempunyai tuntutan polisi insuran.

“Mangsa menafikan dan diminta membuat laporan polis seterusnya disambungkan kepada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

“Pegawai polis berkenaan memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kataya, selepas itu mangsa menerima Whatsapp daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah yang boleh membantu mangsa menyelesaikan kes.

Pada 4 Disember lalu ujarnya, mangsa diminta pergi ke sebuah bank di bandar itu untuk menukar maklumat perbankan dalam talian melalui mesin ATM.

Menurutnya, mangsa juga diminta memindahkan semua wang simpanan miliknya berjumlah RM89,000.

Tambah Raiz Mukhliz, pada 11 Disember lalu, mangsa dimaklumkan perlu membayar wang jaminan sebanyak RM38,000.

“Mangsa berasa curiga dan terus menyemak akaun bank miliknya dan mendapati akaun bank miliknya hanya berbaki sebanyak RM98.67.

“Mangsa telah mengemas kini perbankan online miliknya dan mendapati wang simpanannya berkurangan sebanyak RM89,000. Mangsa percaya ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.

Polis menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.

Orang ramai ujarnya, turut diingatkan untuk sentiasa mengikuti nasihat dalam media sosial seperti Facebook, Instagram, Tik Tok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapat maklumat berkenaan modus operandi scammer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast