CYBERJAYA – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berhak untuk menyuarakan kekecewaan rakyat yang didakwa kecewan kerana kerajaan gagal menunaikan janji reformasi, kata Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan itu menambah, gerakan tersebut mempunyai hak untuk menyatakan pandangan tersebut.
“Bersih ada hak untuk menyatakan pandangan tersebut,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Bersih yang mengingatkan bahawa rakyat berhak untuk kecewa sekiranya kerajaan gagal menunaikan janji reformasinya.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/01/25/himpunan-rakyat-benci-rasuah-kemuka-tiga-tuntutan/
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata bahawa kerajaan perlu memulakan proses reformasi tahun ini.
Antara reformasi yang dituntut Bersih ialah pengasingan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk menyekat rasuah dalam pilihan raya, perubahan kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan menggubal Akta Pembiayaan Politik.-
Terdahulu pagi tadi, Fahmi merasmikan Chatbot Sebenarnya.my di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Chatbot tersebut adalah kerjasama MCMC dengan rakan strategik bagi membangunkan dan menyediakan kemudahan Chatbot di platform WhatsApp dan portal Sebenarnya.my.
Inisiatif Chatbot yang diterajui oleh MCMC bakal berfungsi sebagai platform untuk membantu pengguna menyemak kesahihan maklumat yang disebarkan menerusi aplikasi tersebut. –MalaysiaGazette
















