Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi jaminan perjalanan persidangan Dewan Rakyat kali ini akan dilaksanakan secara lebih tegas dengan tidak membenarkan sebarang tindakan ‘mainan politik’ dalam kalangan Ahli Parlimen ketika majlis mesyuarat berlangsung.

Bagaimanapun, beliau yakin semua Ahli Parlimen akan mempamerkan sikap profesional dan lebih matang dalam membincangkan isu rakyat.

“Perbincangan Ahli Parlimen perlu lebih fokus kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Saya juga akan lebih bertegas dan tidak akan membenarkan permainan politik (ketika persidangan) berterusan.

“Tumpuan persidangan juga perlu diberikan kepada inti pati Titah Diraja, saya jangka ia menyentuh soal pembangunan negara kerana tahun lepas kita melihat petunjuk serta prestasi baik ekonomi, di samping Kepengerusian ASEAN dan Perhimpunan
Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46,” katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula esok  dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan
mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan titah ucapan diraja itu bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Inti pati Titah Diraja itu dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk soal pembangunan negara serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 itu akan disiarkan secara langsung bermula 10 pagi menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast