KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat selepas terpisah daripada kumpulannya sewaktu mereka menuruni Gunung Yong Yap dekat Kuala Mu ditemui selamat.
Ilhami Mohd Idris, 22, berjaya ditemui hari ini merupakan antara 16 pendaki yang mengikuti pendakian gunung itu melalui Pos Kuala Mu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berasal dari Seri Kembangan, Selangor dijumpai pukul 10 pagi tadi di kawasan kebun getah dekat Kuala Mu oleh orang awam.
Menuritnya, Ilhami didapati hilang semasa ketua ekspedisi pendakian itu membuat pemeriksaan kumpulan ekspedisi selepas mereka menuruni bukit di Kem Chinak pada pukul 6 petang kelmarin.
“Pencarian mangsa dimulakan 7.30 pagi tadi (Isnin) bersama agensi yang terbabit termasuk bersama lima malim gunung.
“Mangsa dijumpai oleh orang awam pukul 10 pagi di kebun getah Kuala Mu. Mangsa dibawa oleh orang awam ke pihak bomba pukul 10.26 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gunung Yong Yap terletak bersempadan antara Perak dan Kelantan setinggi 2,167 meter, antara tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai G7 dalam kalangan pendaki tempatan.
Pasukan pendakian itu bersama lima malim gunung kemudian membuat pencarian hingga ke puncak namun mangsa tidak dijumpai sebelum mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pukul 10.03 malam tadi.
Sementara itu, kehilangan Ilhami mula tular di media semalam selepas hebahan dibuat ahli keluarganya. – MalaysiaGazette
















