DBKL menyita barangan perniagaan milik 11 penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Kuala Lumpur, pagi tadi. – Foto: FB DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barangan perniagaan milik 11 penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen di beberapa lokasi tumpuan di sekitar ibu kota pagi tadi.

DBKL dalam kenyataan di laman sosial Facebook memaklumkan, operasi Tindakan Khas Penjaja Warga Asing itu dijalankan di Jalan Petaling; Jalan Tun Tan Siew Sin; Jalan Leboh Pudu; Jalan P. Ramlee, Masjid Jamek; kawasan hadapan KLCC serta pusat beli-belah Pavilion Bukit Bintang.

Menurutnya, aktiviti perniagaan yang dijalankan itu melibatkan jualan pakaian, makanan dan minuman oleh warga asing tanpa kelulusan sah.

“Tindakan ini diambil di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Semua barangan perniagaan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

DBKL menyita barangan perniagaan milik 11 penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Kuala Lumpur, pagi tadi. – Foto: FB DBKL

Dalam masa sama, tambahnya, pemantauan secara statik turut dijalankan oleh anggota penguat kuasa DBKL dengan kehadiran wakil daripada Jabatan Imigresen bagi memastikan tiada sebarang aktiviti jualan dijalankan tanpa lesen, khususnya oleh bukan warganegara.

Ujarnya, DBKL akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi tumpuan ini bagi memastikan undang-undang dipatuhi demi kesejahteraan warga kota.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti penjajaan tanpa lesen boleh menyalurkan aduan menerusi pautan https://adukl.dbkl.gov.my,” katanya.

Semalam, menerusi operasi sama, DBKL turut menyita barangan perniagaan milik sembilan penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Silang, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Khoo Teik Ee, di sini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast