Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah hari ini  menuntut semula jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN).

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, tuntutan itu wajar dilaksanakan kerana ia adalah langkah menepati janji.

“Ini bukan isu remeh. Ini soal maruah politik, integriti kepemimpinan dan kejujuran dalam memenuhi komitmen yang telah dimeterai bersama.

“Kegagalan untuk menunaikan janji ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam kepemimpinan, tetapi turut memperlihatkan kerjasama yang terjalin ini sebenarnya tidak ikhlas di Kedah.

“Saya bersetuju dan menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mendesak supaya janji ini dilaksanakan segera dan kita tidak pernah menuntut lebih daripada apa yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nazifuddin berkata, UMNO Kedah tidak akan berdiam diri terhadap janji yang dibuat dua tahun lalu.

Jelasnya, perlantikan ke jawatan itu bukan suatu perkara kecil yang boleh dilengahkan atau dianggap tidak penting oleh pihak berkaitan.

“Jangan sesekali cuba mengambil sikap mempergunakan sokongan kami hanya untuk mengukuhkan kuasa. Jika mahu terus berdiri sebagai rakan kongsi maka sepatutnya penuhi janji yang telah dibuat.

“Kami tidak akan terus membisu dan berlapang dada melihat janji tidak ditunaikan. Wakil UMNO di MTPN Kedah bukan sekadar simbol, tetapi satu keperluan untuk memastikan suara rakyat Kedah di semua peringkat didengar dan dihormati,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendesak jawatan Timbalan Pengerusi MTPN Kedah diberikan kepada wakil UMNO bagi membolehkan parti itu terbabit dalam aspek perancangan dan pembangunan negeri secara menyeluruh.

Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, kegagalan menunaikan janji tersebut boleh menjejaskan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, terutama menjelang pilihan raya akan datang.

Ketika ini jawatan Pengerusi MTPN Kedah disandang bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, manakala jawatan Timbalan Pengerusi kekal kosong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast