ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki kerana melakukan khianat dengan api di sebuah rumah teres sebelum kebakaran merebak ke dua buah rumah lagi di Taman Mutiara Rini, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 6.55 pagi semalam.
“Lelaki berkenaan memaklumkan tiga buah rumah teres satu tingkat terbakar. Bertindak atas maklumat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Iskandar Puteri membuat tangkapan pukul 1 petang semalam.
“Polis memberkas seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun. Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis turut merampas sepasang baju dan seluar dan pemetik api.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada isu hutang.
“Suspek pada mulanya membakar sebuah rumah sahaja, tetapi telah merebak sehingga melibatkan dua buah rumah lagi turut mengalami kebakaran.
“Kejadian ini berpunca kerana mangsa berhutang dengan suspek. Kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 24 jam,” ujar beliau.
Tambah Kumarasan, suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Jumaat, bagi membantu siasatan.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat untuk membinasakan rumah. – MalaysiaGazette
















