ISKANDAR PUTERI – Taktik membawa rokok seludup dengan mengiystiharkan muatan dibawa sebuah lori sebagai barang dagangan ‘Cocoa Beans’ di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah, di sini, 6 Februari lalu gagal apabila berjaya dikesan pihak kastam.
Pengarah Kastam negeri, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Hino dilakukan oleh Pegawai Kastam Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah pada pukul 2.40 petang.
“Pemeriksaan dilakukan di Bay Pemeriksaan Kastam Cawangan Eksport KSAB dan semakan dalam Sistem Maklumat Kastam (SMK) mendapati lori tersebut telah membuat pengisytiharan Borang Kastam 8 (transit dari Johor Port Ke Singapore Port) membawa dagangan ‘Cocoa Beans’.
“Seorang lelaki iaitu pemandu lori yang berusia 20-an diminta untuk membuka lori berkenaan bagi melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan yang disaksikan suspek menjumpai 1,600 karton iaitu 320,000 batang rokok putih jenama Double Happiness diletakkan dalam guni-guni di dalam lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, anggaran nilai rokok putih terbabit adalah RM76,800 dengan jumlah duti/cukai terlibat RM 218,880 manakala anggaran jumlah nilai dan duti/cukai terlibat RM295,680.
Katanya, semua barang kes dan lori berkenaan sudah disita dan kejayaan tersebut adalah hasil perkongsian maklumat daripada orang ramai pihaknya sekali gus menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat.
Menurut Aminul Izmeer, kes berkenaan telah dituduh bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 14 Februari lalu.
Suspek katanya, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dan diperintahkan membayar duti RM64,000 manakala barang-barang kes dan kenderaan dilucuthak kepada kastam.- MalaysiaGazette
















