PUTRAJAYA – Malaysia bersedia merealisasikan Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, projek mega yang menghubungkan Asia Tenggara dengan China dan seterusnya ke benua Eropah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif tersebut merupakan impian yang diilhamkan Malaysia lebih 30 tahun lalu di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas beliau, rangkaian global itu bukan sahaja penting bagi menaik taraf perkhidmatan kargo malah membuka peluang negara menembusi pasaran halal sehingga ke benua Eropah.
“Dari negara China sudah ada rangkaiannya yang boleh sampai ke Kazakhstan dan merentas benua sampai ke Eropah. Jadi kita (Malaysia) yang nak sambung rangkaian ini dengan Asia Tenggara. Ia sangat berkesan dan penting untuk rangkaian kereta api global.
“Kita sekarang bukan soal (tumpu) Malaysia atau Asia Tenggara sahaja tapi apabila dihubungkan semua ini (pasaran) boleh sampai ke China dan Euro Asia.
“Jadi ini mod (pengangkutan) yang sangat penting yang kita tumpulan. Malaysia setuju dan kita sokong sebab kita pun banyak melabur dalam sektor rail kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Apresiasi Pelanggan dan Hari Terbuka Perbadanan Aset Keretapi (RAC) Tahun 2025 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad dan Pengarah Urusan YTL Communication Sdn. Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Menurut Anthony, inisiatif berkenaan juga pernah disuarakan oleh Presiden China, Xi Jinping sebelum ini.
Bagaimanapun Anthony mengakui pelaksanaannya memerlukan kerjasama daripada negara-negara yang terlibat khususnya melibatkan penyelarasan undang-undang.
Sehubungan itu Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Thailand melalui Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara pada 2 Mei ini bagi memperincikan inisiatif tersebut.
“Saya akan melawat Bangkok pada 2 Mei ini untuk berjumpa dengan Menteri Pengangkutan negara itu dan agenda paling penting adalah bincangkan perkara ini,” katanya lagi.
Terdahulu, katanya, rangkaian kereta api Pan-Asia mengendalikan kereta api kargo antara Malaysia ke China memerlukan penambahbaikan di landasan tertentu.
Ia melibatkan projek landasan berkembar yang melibatkan pembinaan menerusi Johor Bharu ke Padang Besar, Perlis yang dijangka siap akhir tahun ini.
“Dengan siapnya berkembar ini kita akan landasan dari Selatan sampai ke Utara Semenanjung. Padang Besar boleh sampai ke Thailand, Thailand pula ada rancangan naik taraf landasan kereta api mereka dari selatan Thailand sampai ke Bangkok. Dari Bangkok landasan kereta api sedia ada telah sampai ke Laos.
“Laos pula ada kerjasama dengan China, China telah naik taraf landasan kereta api mereka dari Kunming sehingga Laos. Maksudnya daripada Padang Besar kita masuk Thailand, ke Laos boleh sampai ke China,” ujarnya.
Sebagai rekod ketika ini, kira-kira 90 hingga 95 peratus perdagangan negara dilakukan melalui maritim atau laut.-MalaysiaGazette
















