Lapan petugas Bulan Sabit Merah Palestin yang terbunuh dalam serangan tentera Israel pada 23 Mac 2025.

BAITLMAQDIS –  Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menolak penemuan siasatan tentera Israel yang menyalahkan kegagalan operasi hingga mengakibatkan pembunuhan 15 pekerja perkhidmatan kecemasan Gaza, bulan lalu.

Makah, PRCS  mengecam laporan itu sebagai “penuh dengan pembohongan”.

“Laporan itu penuh dengan pembohongan. Ia tidak sah dan tidak boleh diterima, kerana ia mewajarkan pembunuhan dan mengalihkan tanggungjawab kepada kesilapan peribadi dalam arahan lapangan apabila kebenarannya agak berbeza,” kata Nebal Farsakh, jurucakap Bulan Sabit Merah, kepada AFP.

Dalam laporan itu, tentera Israel mendakwa “kegagalan profesional” menjadi punca pembunuhan 15 pekerja kecemasan di Gaza bulan lepas.

Siasatan terhadap insiden itu oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendapati, beberapa siri kegagalan, termasuk salah faham operasi dan pelanggaran arahan.

Menurutnya, timbalan komander unit terbabit telah dipecat kerana memberikan laporan yang tidak lengkap dan tidak tepat semasa sesi penerangan.

Manakala seorang lagi pegawai pemerintah akan menerima teguran kerana “tanggungjawab keseluruhannya terhadap insiden itu.

Jurucakap PRCS pula menegaskan laporan itu tidak sah kerana ia mewajarkan dan mengalihkan tanggungjawab kepada kesilapan peribadi dalam arahan lapangan sedangkan kebenarannya agak berbeza.

Dalam kejadian 23 Mac lalu, seramai 14 pekerja kecemasan dan seorang pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh selepas konvoi ambulans PRCS, sebuah kereta PBB dan sebuah trak bomba diserang oleh tentera Israel.

Dalam satu kenyataan, IDF berkata, tenteranya melepaskan tembakan kerana percaya mereka menghadapi ancaman daripada pasukan musuh.

IDF berkata, siasatannya mendapati enam daripada mangsa yang terkorban adalah anggota Hamas, dan menolak terdapat hukuman mati ‘secara ringkas’.

Dalam taklimat yang direkod, Mejar Jeneral Yoav Har-Even – yang menyiasat kejadian itu memberitahu wartawan bahawa tentera Israel menegaskan enam daripada pekerja kecemasan adalah anggota Hamas dan berkata mereka akan menamakan mereka kemudian.

Laporan itu berkata, insiden itu digelar “zon tempur yang berbahaya”, dan komander di darat merasakan ancaman segera dan ketara selepas ada kenderaan menghampiri dengan pantas.

Ia menyalahkan “penglihatan malam yang lemah”, yang dikatakan oleh IDF bermakna komander tidak mengenal pasti kenderaan itu sebagai ambulans.

Israel pada asalnya mendakwa tentera melepaskan tembakan kerana konvoi itu menghampirinya dalam keadaan mencurigakan dalam kegelapan tanpa lampu atau lampu berkelip.

Ia berkata, pergerakan kenderaan itu sebelum ini tidak diselaraskan atau dipersetujui dengan tentera.

Tetapi ia kemudian mengatakan akuan itu “tersilap” selepas video yang ditemui pada telefon bimbit seorang pegawai perubatan yang terbunuh menunjukkan kenderaan dengan lampu menyala dan isyarat kecemasan mereka berkelip.

Rakaman menunjukkan kenderaan berhenti di atas jalan ketika tembakan dilepaskan sebelum subuh.

Video itu berterusan selama lebih lima minit, dengan paramedik itu mengucapkan doa terakhirnya sebelum suara tentera Israel kedengaran menghampiri kenderaan.

Ia juga menunjukkan kenderaan ditanda dengan jelas dan paramedik memakai pakaian seragam hi-vis reflektif.

Mayat 15 pekerja yang maut itu tertimbus dalam pasir.

Mereka tidak ditemui sehingga seminggu selepas kejadian kerana agensi antarabangsa, termasuk PBB, tidak dapat mengatur laluan selamat ke kawasan itu atau mengesan tempat berkenaan.

IDF juga mengesahkan ia menahan seorang doktor PRCS susulan kejadian itu namun tidak mengesahkan namanya.

Tetapi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah sebelum ini telah menamakannya sebagai Assad al-Nassasra.

PRCS dan beberapa pertubuhan antarabangsa lain sebelum ini menggesa siasatan bebas terhadap insiden itu.

Keputusan IDF memecat seorang komander dan mendisiplinkan seorang lagi pegawai kanan tidak pernah didengari – tentera memecat dua pegawai dan mengambil tindakan terhadap yang lain selepas tujuh pekerja bantuan dari World Central Kitchen terbunuh pada April tahun lalu.

Israel melancarkan operasi besar pertamanya di Rafah pada Mei 2024, menyebabkan sebahagian besarnya musnah.

Puluhan ribu orang kembali ke tempat tinggal mereka di bandar itu semasa gencatan senjata selama dua bulan baru-baru ini.

Israel memperbaharui serangan di Gaza pada 18 Mac selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata berakhir dan rundingan mengenai fasa kedua perjanjian itu terhenti.

Israel melancarkan kempennya untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober 2023, menyaksikan kira-kira 1,200 orang terbunuh dan 251 yang lain telah dijadikan tebusan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast