Gambar hiasan.

SEREMBAN – Rancangan Kerajaan Negeri Sembilan untuk melupuskan anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu menerima kecaman daripada aktivis masyarakat dan pejuang kebajikan haiwan.

Pengerusi Pertubuhan Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Seri S Surash menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

“Tindakan membunuh anjing liar bukan sahaja kejam malah menunjukkan kegagalan kerajaan negeri mengurus isu ini secara berilmu dan berperikemanusiaan.

“Ini bukan soal kaum atau agama sebaliknya ini soal tanggungjawab kita terhadap makhluk hidup,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Datuk Seri S Surash

Hari ini, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sebulat suara bersetuju agar sebahagian anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam dilupuskan atas faktor keselamatan.

Difahamkan tindakan itu akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan tidak semua anjing liar akan dilupuskan.

Menurut Surash, alasan hanya anjing yang ‘mengancam keselamatan’ akan dibunuh adalah kabur  kerana tidak ada penanda aras yang jelas untuk menilai ancaman tersebut.

“Siapa yang tentukan anjing itu bahaya? Bagaimana nak bezakan yang garang dan yang jinak? Kenyataan seperti ini membuka ruang kepada salah guna kuasa dan tindakan semborono,” katanya lagi.

Beliau menggesa kerajaan negeri agar menghentikan segera rancangan pelupusan itu sebaliknya bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan untuk melaksanakan program ‘Tangkap, Mandul dan Lepaskan’ yang telah terbukti berkesan dan beretika.

“Gunakanlah peruntukan yang ada untuk mendidik masyarakat, bukan membiayai pembunuhan haiwan. Kita tidak mahu anak-anak membesar dalam budaya kekerasan terhadap makhluk yang tidak bersalah,” ujarnya.

Surash turut menegaskan pentadbiran negeri seharusnya mencerminkan dasar yang adil dan progresif bukan tunduk kepada tekanan sentimen tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap masyarakat dan keseimbangan ekosistem bandar.

“Ini bukan hanya soal anjing, ini soal nilai dan arah tuju kita sebagai masyarakat berperadaban,” katanya.

Sebelum ini, Rajesh Nagarajan daripada Peguam  Hak Asasi Haiwan mengkritik tindakan yang sama dengan menyifatkan langkah itu sebagai salah di sisi undang-undang.

Soalnya pihak mana yang akan dilantik kerajaan negeri untuk melupuskan anjing-anjing tersebut sedangkan hanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dibenarkan secara sah untuk melaksanakan pelupusan haiwan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Sebagai peniaga kedai makan Islam pun saya pun merasakan ia tindakan yang tidak wajar. Saya faham, anjing yg ramai hidup berkumpulan tu kadang mengancam orang yg berjalan kaki di sekitar, tapi sebenarnya ada caranya menghadap anjing bila dia menyalak. Pihak NGO N9 amat membantu dalam mengawal populasi anjing. Mereka tangkap dan kasi anjing2 tu dan lepaskan. Kawasan kami boleh kata tinggal sekor dua saja selepas setahun tindakan memandulkan anjing2 dr pihak NGO tu. Anjing hanya makhluk Tuhan mahu menumpang hidup. Saya amat sedih apabila melihat ada yang cedera disiram air panas, anak anak anjing kecil2 dipukul, diracun dan macam2. Orang ramai tidak tahu, bila kurang populasi anjing, populasi kucing jalanan dan tikus yang besar2 pula akan membiak. Kucing juga sama membawa penyakit. Dengan kurap bagai keluar masuk kedai. Najis dia pun merata rata. Sama juga tikus yang besar2 beranak pinak. Bila anjing ada, anjing akan kejar dan gigit tikus2 tu. Kucing tak berani sebab tikus tu besar. Semuanya saling memerlukan. Termasuk burung gagak. Gagak no 1 paling suka punggah sampah, tapi takda gagak pun bangkai2 sisa makanan daging ayam busuk2 takda siapa nak bersihkan. Gagaklah yang bersihkan. Saya amat berterima kasih kepada NGO di atas usaha mereka tanpa menyakiti haiwan2 teersebut. Saya pun mula2 dulu tak suka anjing sebab najis. Tapi lepas berkali kali tengok ibu anjing menangis berminggu minggu siang dan malam kerana kesemua anaknya mati diracun.. hampir setiap kali beranak.. Wallahi saya merasa kasihan. Tak boleh tidur dibuatnya. Binatang pun ada perasaan kasih sayang. Tindakan pihak NGO itu sudah tepat. Harap pihak kerajaan ambil perhatian.

  2. PBT dah boleh hantar semua anjing2 liar yang di tangkap ke rumah beliau.

  3. aku sampai sekarang trauma kena gigit anjing masa joging..yang nie anjing bertuan tau..tuan rumah dia bengap sb bukak pagar luas2..lepas tu kena kejar dengan 4 ekor anjing liar sampai depan rumah..masih terbayang muka bengis 4 ekor anjing yang kejar tu..setiap kali nak keluar pagar aku pandang keliling dulu pastikan clear dari anjing..xkena kat batang hidung sendiri,x kena kat kaum kerabat sendiri boleh laa cakap lupus anjing nie kejam..cuba bila dah kena kokak dengan anjing tu auto ko jadi benci dengan anjing..serius aku cakap

Comments are closed.