Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo atas dakwaan menghina mahkamah sekali lagi.

Kebenaran tersebut diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong selepas mendengar hujahan peguam Razarudin, Raam Kumar dalam prosiding yang dijalankan secara ex-parte.

Ia merupakan kali ketiga permohonan prosiding komital difailkan oleh Razarudin susulan tindakan Papagomo memuat naik sebuah video bertarikh 1 Mei lalu sehari selepas beliau mengemukakan permohonan maaf terbuka kepada Razarudin dan mahkamah pada 30 April lalu.

Menurut afidavit yang difailkan, Razarudin mendakwa kandungan video tersebut membawa maksud sindiran terhadap prosiding mahkamah dan tidak mencerminkan keikhlasan permohonan maaf terdahulu.

Dakwanya, video tersebut turut disertakan dengan muzik latar daripada filem klasik Pendekar Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang disifatkan sebagai cubaan memperlekeh proses kehakiman.

“Paparan video ini jelas menunjukkan bahawa permohonan maaf yang dibuat adalah tidak ikhlas dan semata-mata bertujuan mengaburi mahkamah,” kata afidavit itu.

Dakwa beliau, video itu tersebut memberi gambaran seolah-olah Papagomo berjaya memperdayakan mahkamah agar menerima permohonan maafnya serta membuat tuduhan tidak berasas kononnya beliau berniat jahat untuk menghantarnya ke penjara.

Kenyataan-kenyataan itu didakwa bercanggah dengan permohonan maaf bertulis dan lisan yang telah dipersetujui serta dibacakan di hadapan mahkamah sebelum ini.

Permohonan itu berkait rapat dengan saman fitnah berjumlah RM3 juta yang difailkan oleh Razarudin terhadap Papagomo pada 26 Disember 2023, susulan kenyataan fitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan tersebut, Papagomo didakwa melabelkan Ketua Polis Negara sebagai ‘pelacur banduan terhormat’ dan ‘penjilat kepada Perdana Menteri’.

Terdahulu, pada 24 Januari lalu, Razarudin memfailkan permohonan komital pertama selepas Papagomo didakwa melanggar perintah injunksi bertarikh 10 Januari dengan terus membuat hantaran berunsur fitnah di media sosial termasuk YouTube, TikTok, X dan Telegram.

Mahkamah kemudian membenarkan perintah injunksi interim pada 31 Januari lalu yang melarang sebarang kenyataan fitnah terhadap plaintif sehingga kes saman diselesaikan.

Permohonan komital kali kedua pula difailkan dan dibenarkan pada 9 Mei selepas mahkamah mendapati wujudnya asas prima facie berhubung kegagalan defendan mematuhi perintah agar permohonan maaf tanpa syarat disiarkan secara terbuka di beberapa platform media sosial.

Papagomo juga didakwa gagal memadam kenyataan berunsur fitnah bertarikh 14 Januari lalu serta imej Ketua Polis Negara yang telah disunting.

Razarudin dalam permohonan terbaharunya memohon agar defendan dikenakan hukuman penjara atas penghinaan berterusan terhadap perintah mahkamah yang sah dan berkuat kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast